Pasukan perubatan sedang mengusung seorang mangsa yang dibawa keluar dari bangunan kediaman yang runtuh di Tasia Embakasi. fotO AP

NAIROBI – Sebuah bangunan kediaman enam tingkat runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang mangsa.

Difahamkan terdapat mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Pasukan keselamatan mendakwa mereka masih mendengar suara daripada kawasan runtuhan yang terletak di Tasia Embakasi.

Ketua Polis Nairobi, Philip Ndolo berkata, seramai 21 orang telah diselamatkan dan petugas-petugas menggunakan tangan untuk mengalihkan serpihan batuan dalam usaha mengeluarkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

Katanya, punca runtuhan sedang disiasat.

Bangunan itu difahamkan mempunyai 57 bilik yang disewakan dengan 22 keluarga menetap di dalamnya.

Kejadian bangunan runtuh biasa berlaku di Nairobi, yang mana kediaman mendapat permintaan tinggi dan kebanyakan pemaju tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Siasatan yang dijalankan oleh kerajaan Kenya pada 2015 mendapati 58% bangunan di Nairobi adalah tidak selamat.

Kajian itu dibuat selepas lapan bangunan runtuh dan mengorbankan 15 orang pada tahun 2015. – MalaysiaGazette