NEW CLARK CITY, Filipina – Ketiadaan jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Mohd Kassim jelas tidak memberi kesan kepada Muhammad Haiqal Hanafi, yang ditabalkan sebagai Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu, selepas mengungguli acara 100 meter Sukan SEA ke-30 pada aksi di Stadium Olahraga New Clark City di sini, hari ini.

Pelari pecut kebangsaan itu melakar catatan masa 10.35 saat untuk memenangi acara riben biru berkenaan, sekaligus mempertahankan emas dimenangi seorang lagi pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masing diraih oleh dua pelari Thailand iaitu Sowan Ruttanapon dan Chuangchai Bandit yang mencatat masa 10.49 saat dan 10.52 saat.

Terdahulu, Muhammad Haiqal, 20, melakar catatan peribadi terbaik musim ini iaitu 10.39 saat pada aksi saringan pagi ini.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan, jelas gembira dengan kejayaan itu dan mendedikasikannya kepada ibu bapanya, Mohd Poad serta rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan kepada atlet kebangsaan ketika bertanding pada kejohanan antarabangsa.

“Saya pun tak jangka boleh menang acara ini kerana saya hanya fokus kepada persembahan diri sendiri dan sebelum bermulanya acara hari ini, jurulatih (Mohd Poad) supaya berdoa dan tawakal buat solat hajat serta mohon doa daripada ibu bapa.

“Kejayaan ini amat bermakna untuk diri saya memandangkan ini kali pertama kali saya menyertai acara individu pada Sukan SEA dan Alhamdulillah, saya telah buktikan kepada jurulatih bahawa saya boleh lakukan yang terbaik,” jelas anak jati Negeri Sembilan itu.

Muhammad Haiqal mengakui saingan pada hari ini agak hebat memandangkan dua pelari Thailand itu memberikan saingan sengit kepadanya menuju ke garisan penamat, sebelum mempertingkatkan tempo larian beberapa meter sebelum menuju ke garisan penamat.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli sekadar menduduki tangga keenam daripada lapan atlet dalam acara 100 meter wanita dengan catatan 11.84 saat.

Acara berkenaan diungguli pelari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan 11.54 saat, disusuli wakil tuan rumah, Kristina Marie Knott (11.55 saat), manakala pelari Singapura, Shanti Veronica Pereira meraih gangsa selepas mencatat masa 11.66 saat. – Bernama