Tun Dr Mahathir Mohamad

LANGKAWI  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan bahawa kekecohan yang berlaku semasa Kongres Nasional PKR 2019 tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah masalah dalaman parti berkenaan dan tidak mahu campur tangan.

“Memang la akan berlaku perselisihan faham dalam mana-mana kepimpinan pun tetapi saya yakin taklah sehingga kita tak dapat mengadakan pakatan harapan dan pemerintahan.

“Parti lawan pun ada banyak masalah tapi pasal tak jadi kerajaan dia (rakyat) tak peduli lah tetapi bila kita jadi kerajaan kadang-kadang ada selisih faham sedikit, itu perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Ketua Jabatan, Jawatankuasa PH, Ketua-ketua Cawangan PH dan Ketua-ketua Pengerusi MPKK Langkawi di Hotel Adya, Kuah di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu memberi perhatian kepada peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu campur dalam urusan parti itu.

“Ini masalah dalam PKR, saya tak nak campur tangan apa dia (Mohamed Azmin ) punya pendapat asalkan kita boleh bekerjasama dan tubuh kerajaan yang berwibawa itu sahaja yang saya nak,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas mengenai perwakilan Amanah yang membangkitkan projek kereta terbang sebagai satu projek paling tidak guna dan memalukan ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Konvensyen Nasional Amanah 2019, Dr Mahathir berkata, perkara itu timbul akibat salah faham mengenai projek berkenaan.

“Silap pasal panggil kereta terbang, sebenarnya dron yang besar dan boleh bawa orang kalau nak pi dari satu tempat ke satu tempat tak pakai jalan kerana dia boleh terbang.

“Takpa kalau rakyat tak mau bukan satu paksaan ini satu idea kalau orang suka terima kalau tak suka tak terimalah,” katanya. – Bernama