Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 5.2 peratus pada Oktober 2019 kepada 48,549 tan metrik berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Perbandingan bulan ke bulan turut menunjukkan penurunan sebanyak 21.4 peratus daripada 61,731 tan metrik yang direkodkan pada September 2019.

Manakala eksport getah asli Malaysia berjumlah 50,600 tan metrik, meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding 48,058 tan metrik pada September 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 39.3 peratus daripada jumlah eksport pada Oktober 2019 diikuti Jerman (11.2%), Iran (6.2%), Amerika Syarikat (3.3%) dan Finland (3.2%).

Stok getah asli yang direkodkan pada Oktober 2019 ialah 189,895 tan metrik berbanding 189,504 tan metrik pada September 2019 dengan peningkatan 0.2 peratus.

Harga purata Lateks Pekat ialah 425.61 sen sekilogram pada Oktober 2019, menurun 2.9 peratus berbanding September 2019.

Pada masa yang sama, harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan sebanyak 2.7 peratus kepada 536.50 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Tambahnya, jmlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 41,924 tan metrik, peningkatan sebanyak 6.8 peratus berbanding 39,264 tan metrik yang dilaporkan pada September 2019.

Pembuatan sarung tangan getah mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 31,677 tan metrik atau 75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette