Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Seramai 1.5 juta penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 pada 18 Disember ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bantuan khas itu diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan gred 56 dan ke bawah dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana, merangkumi kakitangan lantikan tetap dan kontrak.

Bagi pesara pula, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 akan diberikan untuk tahun ini.

Bantuan Khas Kewangan ini adalah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu.

Menurutnya, bantuan tersebut juga akan diberikan kepada veteran dan pesara awam yang tidak menerima pencen.

“Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa dalam kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan membuat bayaran khas sebanyak RM250 kepada 1 juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenangkan khidmat bakti mereka,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan di sini.

Bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion. – MalaysiaGazette