Penduduk di New South Wales dan Sydney dikenakan catuan air tahap dua mulai hari ini.

SYDNEY – Penduduk Sydney menghadapi catuan air yang paling sukar di bandar ini dalam lebih dari satu dekad di tengah-tengah musim kemarau yang teruk dan kebakaran belukar besar-besaran di timur Australia.

Tahap dua catuan telah dilaksanakan pada hari Selasa di ibu negara New South Wales (NSW), yang 99.9% dalam keadaan kemarau.

Keadaan ini boleh ditingkatkan ke peringkat ketiga dalam beberapa bulan, menurut laporan media.

Suhu dijangka melonjak melepasi 40 darjah celcius mulai Selasa, memburukkan lagi kebakaran belukar yang telah mengorbankan enam nyawa sejak Oktober lalu.

Dilaporkan lebih daripada 100 kebakaran berlaku di negeri-negeri NSW dan Queensland yang sudah terbakar sejak berminggu-minggu lalu.

Sepanjang tempoh catuan itu, Sydney, Blue Mountains dan Illawarra tidak dibenarkan menyiram pokok-pokok ditaman antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

Mereka yang mahu melakukan kerja-kerja menanam hanya dibenarkan menggunakan air pada bekas yang kecil sahaja.

Kereta-kereta pula boleh dibasuh dengan menggunakan air yang kecil atau dihantar ke pusat basuh kereta.

Kerja-kerja memenuhkan air kolam renang tidak dibenarkan kecuali pemiliknya mendapatkan permit.

Peraturan itu terpakai kepada semua penduduk dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan denda sebanyak A$220 dan perniagaan pula A$550. – MalaysiaGazette