Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Sindiket kemasukan beramai-ramai warganegara China yang dipatahkan pihak berkuasa tiga bulan lalu masih menimbulkan tanda tanya.

Ini kerana sehingga kini masih tiada dalang yang dikenalpasti di sebalik jenayah terancang itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, walaupun jenayah melibatkan warga China berjaya dipatahkan namun sehingga kini tiada pendedahan dibuat pihak berkuasa mengenai pembabitan warga tempatan.

“Kita masih belum tahu siapakah dalang yang membawa masuk dan mengumpulkan semua warganegara China ini untuk menjalankan operasi-operasi jenayah di Malaysia.

“Sukar sangatkah bagi pihak berkuasa mengenal pasti dalang kepada semua sindiket ini yang ditumpaskan di Pulau Pinang, Cyberjaya, Sabah dan Ipoh?

“Siapa warga tempatan yang bersekongkol atau sebenarnya ia membabitkan pihak yang berjawatan tinggi seperti yang berlaku dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang? soalnya.

Beliau berkata semikian dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad menegaskan, kerajaan perlu memandang serius kepada Laporan Ketua Audit Negara 2018 tentang wujudnya kelemahan dalaman serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan MyIMMs.

“Kelemahan itu dikesan ketika proses di pintu masuk pelancong dan ia perlu disiasat untuk mengenal pasti jika wujud sebarang unsur pecah amanah,” katanya.

Katanya, rakyat mahukan tindakan pantas daripada kerajaan untuk mengenal pasti dalang kepada kesemua sindiket ini.

“Tidak cukup dengan warganegara China ini ditangkap, perketatkan juga syarat Visa untuk mereka masuk ke Malaysia.

“Malaysia sudah tidak tenteram dengan kedatangan warganegara China ini atas tiket pelancong kemudian menyalah gunakannya bagi menipu rakyat kita pula.

Menurutnya, lebih menghairankan apabila sindiket-sindiket ini menggunakan premis-premis mewah sebagai pusat operasi mereka menunjukkan operasi yang begitu tersusun.

“Sindiket yang membabitkan penangkapan berskala besar ini juga melibatkan ramai warganegara China yang memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk pas lawatan sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast