Pep Guardiola
Pep Guardiola

LONDON – Pep Guardiola nafi khabar angin yang mendakwa terdapat klausa perjanjian yang membolehkan dirinya meninggalkan Manchester City musim hadapan.

Pengurus the Citizens itu berkata, adalah tidak benar dia mempunyai klausa kontrak yang membenarkan dia meninggalkan Manchester musim depan.

Guardiola, 48, setakat ini telah menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris sejak menyertai Etihad pada 2016.

Kontrak pengurus warga Sepanyol itu bersama the Noisy Neighbours sah laku sehingga tahun 2021.

Musim lalu Pep dan pasukannya melengkapkan trebel gelaran domestik namun ketika ini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulunya Liverpool.

Mengulas mengenai laporan berkaitan klausa kontrak, Guardiola berkata laporan berkenaan tidak berasas sama sekali.

“Tidak., tidak benar sama sekali. Saya beberapa minggu lalu telah menyatakan hasratnya kepada kelab ini,” katanya.

Guardiola dan pasukannya akan bertandang ke Stadium Emirates dalam aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Arsenal pada malam Ahad esok.

Menurutnya dia gembira kekal bersama Manchester City dan mahu terus menetap dan bekerja di bandaraya itu.

Skuad Guardiola kini menduduki tempat ketiga dalam carta liga dan kalah empat daripada 16 perlawanan setakat ini.

Tambahnya, kelab tidak membuat sebarang perancangan untuk melabur dalam pemain baharu pada jendela perpindahan Januari ini walaupun dikaitkan kuat dengan pemain pertahanan Bornemouth Nathan Ake.

“Kami akan menamatkan saingan EPL musim ini bersama dengan pemain sama yang kami mulakan musim ini,” katanya sambil memberi indikasi ada potensi pembelian pemain pada akhir musim ini.-MalaysiaGazette