KUALA LUMPUR – Media Prima Berhad (Media Prima) akan memulakan pelaksanaan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang merupakan sebahagian daripada fasa transformasi peniagaan seterusnya seperti yang diumumkan pada 1 November 2019.

Struktur operasi baharu serta senarai nama kakitangan yang terlibat telah ditentukan selepas beberapa sesi perundingan dengan Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB), Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KESTMB), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) Cawangan NSTP.

Media Prima dalam kenyataannya berkata, notifikasi rasmi telah diberikan kepada semua kakitangan yang terlibat pada 16 Disember 2019.

Pembayaran pampasan akan dibuat secara penuh selepas proses dalaman dan kawal selia selesai.

Menurutnya, Media Prima telah memastikan pampasan yang adil dan saksama seperti tertakluk di bawah Akta Kerja,
perjanjian bersama kesatuan masing-masing dan kontrak pekerjaan.

Kumpulan juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada kakitangan termasuk perkhidmatan penempatan keluar dan kaunseling kerjaya.

Fasa seterusnya pelaksanaan transformasi perniagaan Media Prima termasuklah penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman bagi membolehkan Media Prima lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global dan domestik. – MalaysiaGazette