Mohd Kassim Abdul Hamid bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib tidak dapat menahan kesedihan ketika talkin dibacakan di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Hari ini genap setahun anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat cedera parah ketika bertugas dalam tragedi rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Adib, 24, yang merupakan anggota perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Terdapat banyak rumusan, spekulasi, berita, penafian, tuduhan dan pelbagai lagi sejak tercetusnya rusuhan pada tarikh berdarah 27 November 2018 yang menyaksikan bukan sahaja satu nyawa terkorban, malah sistem keadilan di negara ini juga dipersoalkan.

Pencapaian tertinggi dalam siasatan kes Muhammad Adib adalah keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September lalu apabila Koroner Rofiah Mohamad merumuskan sekumpulan lelaki telah memukul Allahyarham.

“Saya merumuskan bahawa kecederaan paru-paru yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri.

“Perbuatan disifatkan sebagai jenayah yang dilakukan dua atau lebih individu terhadap Adib yang menyebabkan kecederaan,” kata Rofiah.

BACA: Adib mati akibat dipukul, diserang pihak ketiga – Koroner Rofiah

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu selepas mendapati keterangan 30 saksi termasuk pakar mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Sebanyak 137 eksibit dikemukakan kepada mahkamah.

Selain dapatan Koroner Rafiah, perkembangan menarik sepanjang inkues adalah pada 27 Mei, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan menarik diri atas nasihat Peguam Negara, Tommy Thomas.

Syazlin bagaimanapun muncul semula selepas dua minggu atas kapasiti peguam mewakili keluarga Muhammad Adib.

Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Turut menarik perhatian apabila pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib,  Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Bagaimanapun, mahkamah telah menolak permohonan tersebut.

Jadi apa lagi yang mengujakan tentang kes Muhammad Adib selain keputusan Mahkamah Koroner yang mengaitkan kematian Adib dengan jenayah serang dan pukul?

Sehingga kini rakyat terutamanya keluarga dan rakan-rakan Allahyarham masih menunggu perkembangan terbaharu kes tersebut.

Sepanjang setahun, dan selepas pelbagai gambar serta video berkaitan rusuhan tersebar, polis telah menahan empat lelaki, bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan.

Peguam Negara berjanji  tiada yang akan terlepas dan pihaknya akan meneliti kertas siasatan secara profesional apabila polis mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga memberi jaminan bahawa pihak polis akan terus menyiasat.

Selebihnya, kita masih menunggu untuk melihat keadilan dilaksanakan dengan harapan cepat atau lambat masih ada ruang untuk ‘keadilan’ dan bukannya keadilan yang dibenamkan. – MalaysiaGazette

 

Parah dipukul dalam rusuhan, Muhammad Adib akhirnya pergi…

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. krrikkikkkkkk…..kkkkkrikkkkkk….krikkkkk…….krrikk……krikk…..krik..kkkrŕ…….rrrŕ…iiii…..ii
    ..i

Comments are closed.