Spesis burung oriental magpie-robin

JAKARTA – Seorang penumpang pesawat Garuda mendakwa kehilangan burung bernilai Rp150 juta (AS$10,718) dalam penerbangannya dari Jakarta ke Kalimantan Barat.

Burung kacer (spesis keluarga murai) atau spesies oriental magpie robin itu diletakkan dalam sangkar dan didaftarkan untuk penerbangan selepas mengambil bahagian dalam pertandingan kicauan burung di Jakarta.

Rendy Lesmana berkata, dia membawa sejumlah lapan ekor burung dalam enam sangkar.

Pesawat berkenaan berlepas dari Jakarta pada jam 6.15 petang dan tiba di Pontianak pada pukul 8 malam, katanya kepada Kompas.com.

Semasa dia memeriksa sangkar-sangkarnya, Rendy mendapati sangkar yang menempatkan burungnya kosong dan mengalami kerosakan.

Rendy yang kecewa dengan insiden itu mendakwa dia telah memenuhi semua syarat-syarat membawa haiwan hidup seperti prosedur yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan itu.

Malah, dia membayar sebanyak Rp 3.5 juta untuk perkhidmatan itu.

Rendy mendakwa dia pernah ditawarkan sebanyak Rp150 juta untuk burung itu tetapi enggan menjualnya.

Dia merancang untuk ke Jakarta dan membuat laporan dengan polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten serta pengurusan Garuda Indonesia.

Secara berasingan, pengurus Garuda Indonesia Isman Kamanjaya mengesahkan insiden tersebut dan berkata, polis telah mengadakan pengantaraan antara syarikat penerbangan dan Rendy.

“Pengantaraan itu tidak memutuskan sebarang perjanjian. Rendy enggan berdamai dan akan memfailkan laporan kepada polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette