KUALA LUMPUR – MARA Corporation menjelaskan bahawa pembayaran gaji tidak pernah tertunggak sehingga tiga bulan lamanya.

Sebaliknya, kelewatan pembayaran gaji kepada kakitangan MARA Corp. dari tarikh yang ditetapkan pernah berlaku tiga kali sepanjang tahun 2019, termasuklah pada bulan Ogos, yang mana tertunggak dan dibayar hanya pada minggu pertama bulan September.

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi, MARA Corporation Sdn Bhd berkata, kelewatan tersebut akibat perubahan serta penyelarasan proses-proses termasuklah pembayaran dividen dan agihan wang pengurusan anak-anak syarikat MARA oleh pihak Majlis MARA yang masih berterusan.

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi

“Pihak MARA Corp tidak pernah dimaklumkan atau dibawa ke mana-mana perbincangan sama ada oleh Jawatankuasa Pelaburan Majlis MARA (ICM) atau Majlis MARA tentang penutupan MARA Corp atau penjualan aset perniagaan MARA di bawah pengurusan MARA Corp.

“Memandangkan prestasi MARA Corp yang dalam tempoh setahun, Alhamdullillah telah berjaya melaksanakan turn around (pemulihan) secara berperingkat terhadap syarikat-syarikat subsidiari kami, yang pada tahun 2018, mencatat kerugian sekitar RM74 juta tetapi pada tahun ini, dianggarkan akan meraih keuntungan RM10-RM20 juta sebelum cukai; maka MARA Corp, insya Allah, akan berjaya melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan matlamat penubuhannya.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, kami merujuk pihak media kepada Pengerusi serta Majlis MARA tentang apa-apa rencana tentang penutupan atau penjualan aset MARA,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel berkaitan: Tutup MARA cubaan nafikan hak istimewa Melayu

Isu tutup MARA Corp: MPM cadang saman MARA

Kenyataan itu menjawab khabar angin yang bertiup kencang mendakwa MARA akan menutup mana-mana anak syarikat yang didapati tidak mampu bersaing dan menjana keuntungan.

MARA Corporation antara anak syarikat MARA yang bakal ditutup dan ini boleh dilihat sejak Ogos lalu, apabila bayaran gaji bagi kakitangannya masih tertunggak sehingga tiga bulan. – MalaysiaGazette