Datuk Prof Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Prof Dr Hasan Mad

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Amanah Rakyat (MARA) jika berhasrat menutup operasi anak syarikatnya, MARA Corporation Sdn Bhd.

Setiausaha Agungnya, Datuk Prof Dr Hasan Mad menegaskan, sebarang keputusan untuk menghentikan operasi mana-mana anak syarikat MARA perlu mendapatkan suara majoriti orang Melayu bukan pemegang saham.

“Mara adalah agensi perusahaan awam, MARA sepatutnya mewakili kepentingan kita (Melayu). Kita semua berperanan untuk mengingatkan kerajaan.

“Jika Mara tidak melakukan peranan yang sepatutnya, MPM tidak lagi minat bercakap, menulis memorandum atau berarak. Sekarang kita akan pergi ke peringkat seterusnya iaitu tindakan undang-undang.

“Bukan sahaja Dong Zong kita ambil tindakan berkenaan sekolah vernakular, kalau agensi orang Melayu sendiri tidak beri keadilan kepada orang Melayu, kita akan ambil tindakan sama,” katanya ketika sesi perbincangan MPM mengenai isu penutup Mara Corporation di Wisma MPM hari ini.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan MARA akan menutup mana-mana anak syarikat yang didapati tidak mampu bersaing dan menjana keuntungan.

MARA Corporation antara anak syarikat MARA yang bakal ditutup dan ini boleh dilihat sejak Ogos lalu, apabila bayaran gaji bagi kakitangannya masih tertunggak sehingga tiga bulan.

Menurut Hasan lagi, MPM yang diwakili oleh peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz akan meneliti kes MARA Corporation sebelum tindakan undang-undang diambil susulan kepentingan orang Melayu boleh terjejas jika hasrat itu diteruskan.

“MARA dipunyai oleh pihak berkepentingan. Kita adalah barisan hadapan kepada pihak berkepentingan (orang Melayu).

“Saudara-mara kita di kampung yang tak tahu hujung pangkal, kita berperanan tegur kerajaan. Azam akan meneliti kes ini (tutup Mara Corp),” katanya.

Dalam pada itu, Hasan juga mencadangkan agar satu seminar awam mengenai penutupan MARA Corporation diadakan dalam masa terdekat.

“Kita nak orang ramai datang dengar apa sepatutnya MARA lakukan, MARA mesti dengar segala tuntutan awam sebelum MARA nak buat sesuatu kepada agensi berkepentingan Melayu ini.

“Sudah tiba masanya orang Melayu bangkit dan berani bersuara berdasarkan peruntukan undang-undang. Kita bukan nak buat sesuatu yang tidak ikut peraturan. Kita hendak melakukan sesuatu yang sah untuk kepentingan kita di bawah Perkara 153 dan sebagainya,” tegasnya.

Tambahnya, ia bukan sekadar seminar bahkan ia seolah-olah satu pendengaran awam membolehkan penyertaan terbuka kepada semua orang Melayu di negara ini untuk menyatakan bantahan.

“Kalau MARA Corporation tak buat, kita di MPM akan lakukannya, di mana agensi awam dan pihak berkepentingan boleh suarakan apa sepatutnya MARA lakukan.

“Kita akan letak wakil generasi muda agar masa depan orang Melayu muda terbela, bukan letak pasir dalam periuk. Kita nak anak muda bangkit.

“Satu hari nanti kita hendak anak muda yang bangkit dan berani cabar kerajaan malah boleh pergi ke parlimen dengan mengatakan kerajaan tidak cukup bagus untuk masa depan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.