Dr Mahathir Mohamad

NEW DELHI – India membuat bantahan terhadap Malaysia berhubung kritikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung undang-undang kewarganegaraan.

India menyifatkan kenyataan itu tidak selaras dengan amalan diplomatik dengan tidak mencampuri urusan hal ehwal dalaman antara kedua-dua negara.

Menurut sumber rasmi, Kedutaan Malaysia dipanggil ke Kementerian Hal Ehwal Luar untuk menyampaikan rasa tidak puas hati India terhadap kenyataan Dr Mahathir semalam.

Perdana Menteri Malaysia, pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada hari Sabtu lalu, mengkritik Pindaan Undang-undang Kewarganegaraan dan menyuarakan kebimbangan “kesukaran” yang dihadapi oleh golongan minoriti Islam di India.

Dr Mahathir menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap Islam.

Sedangkan, katanya, rakyat India yang terdiri daripada pelbagai agama telah hidup bersama sejak merdeka pada tahun 1948.

Malah, beliau menyifatkan undang-undang berkenaan bagi menghapuskan populasi Muslim dari negara tersebut.

India menyifatkan Dr Mahathir tidak sensitif dan tidak dimaklumkan dengan betul tentang isu berkenaan.

Malah, India diminta mengambil pandangan jangka panjang dan strategik mengenai hubungan dua hala. – MalaysiaGazette