Jalil Rasheed

KUALA LUMPUR – Perubahan dalam jawatan tertinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB) langsung tidak ada kaitan dengan isu pengurusan atau sebagainya.

Sebaliknya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, (PNB) Jalil Rasheed yang dilantik untuk menduduki kerusi utama institusi pelaburan terbesar negara itu pada 1 Oktober lalu berkata, PNB adalah sebuah entiti yang berintegriti tinggi dan memiliki kualiti tadbir urus korporat yang cukup baik.

Dalam satu taklimat baru-baru ini, Jalil berkata, beliau telah meminta untuk melihat akaun PNB pada hari pertama ketika berada di pejabatnya.

“Alhamdullah…PNB beroperasi mengikut landasan sebenar, tersusun.

“PNB melunaskan tanggungjawab kepada pelabur dengan begitu baik. PNB tidak pernah gagal membayar dividen kepada pelabur-pelabur.

“PNB beroperasi mengikut standard prosedur yang ditetapkan.

“Pengurusan kecairan sangat bagus.

“Kakitangannya juga berkualiti tinggi.

“Sangat banyak perkara-perkara yang bagus telah dilaksanakan dan menjadi amalan PNB, saya kagum,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan PNB yang tidak pernah berkompromi dalam mematuhi urus tadbir korporat selama 41 tahun.

Jalil dilantik menerajui PNB pada 28 Ogos lalu, menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Beliau berikrar akan terus mempertahankan nilai-nilai tersebut sepanjang menerajui PNB kerana sedar peranan penting kepada 14 juta pelaburnya dan pembangunan negara.

Malah, PNB juga adalah pemangkin ekonomi melalui pelaburan-pelaburannya dalam syarikat-syarikat utama yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

PNB merupakan syarikat pengurusan modal dan pelaburan terbesar di Malaysia, juga syarikat induk kepada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Cuma, katanya, dalam mematuhi urus tadbir korporatnya, PNB mempunyai terlalu banyak jawatankuasa – dilihat menyukarkan sesuatu keputusan segera dapat dilaksanakan terutama membabitkan pelaburan.

“Saya sedang meneliti perkara ini tetapi saya juga akan memastikan jika ada pun perubahan ia sama sekali tidak akan menjejaskan amalan tadbir korporat yang dipertahankan oleh PNB selama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette