Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap kepada media mengenai penyerahan memorandum kemanusiaan kepada Kedutaan Besar China berkaitan isu Uyghur bersama Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur di perkarangan Kedutaan Besar China, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 58 badan bukan kerajaan (NGO) hampa kerana memorandum membantah tindakan kerajaan China terhadap etnik Uyghur enggan diterima pihak kedutaan besar negara itu.

Menurut Ketua Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, pihaknya terpanggil untuk menyerahkan memorandum itu memandangkan keadaan yang menghimpit etnik minoriti itu semakin meruncing.

“Kita sebenarnya sudah berusaha untuk menghantar memorandum ke Kedutaan Besar China di Malaysia tetapi malangnya, kami secara tidak langsung ingin menyatakan kekecewaan kami, kami tahu kedutaan buka operasinya hari ini tetapi mereka tidak melayan kita.

“Mereka tidak layan untuk kita hantar memorandum, maka kita tidak serahkan. Kita tidak mahu memorandum kita ini dibakul sampahkan. Kita datang atas hasrat diplomasi, kita bukan datang ingin menggesa, marah atau hendak ajak perang,” katanya kepada media di perkarangan Kedutaan Besar China, hari ini.

Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap kepada media mengenai penyerahan memorandum kemanusiaan kepada Kedutaan Besar China berkaitan isu Uyghur bersama Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur di perkarangan Kedutaan Besar China, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2019

Hadir sama adalah Setiausaha agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali dan beberapa NGO lain antaranhya Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot).

Justeru itu, Syed Hasan yang mewakili Perkasa berkata NGO berkenaan akan menganjurkan satu himpunan aman bagi menyerahkan memorandum ini.

“Kita akan fikrikan himpunan secara besar-besaran jika itu yang mereka (Kedutaan besar China) minta, sekiranya mereka nak tengok kita serius atau tidak.

“Kita juga harap SUHAKAM juga bertanggungjawab untuk kutuk kerajaan China tentang kekejaman yang disikfatkan tidak berperikemanusiaan, SUHAKAM perlu keluarkan kenyataan keras mengenai isu ini,” katanya dalam sidang media sama.

Ditanya mengapa pihak Kedutaan enggan menerima memorandum yang dibawa mereka, Mohd Ashraf berkata;

“Mereka tidak beri alasan langsung kenapa enggan terima memorandum kami, tapi seperti yang dimaklumkan memang itu budaya mereka, ego untuk terima.

“Kita akan tunjuk cara kita sendiri, yang paling penting hubungan diplomasi antara Malaysia dan China perlu perlu dijaga,” katanya lagi.

Seorang lelaki memegang bendera Uyghur semasa hadir pada penyerahan memorandum kemanusiaan kepada Kedutaan Besar China berkaitan isu Uyghur bersama Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur di perkarangan Kedutaan Besar China, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2019

Dalam memorandum berkenaan, pihaknya mengutuk tindakan kerajaan China yang menahan etnik Uyghur ini di kem-kem tahanan i mana mereka berada didoktrinasikan dengan propaganda komunis dan menafikan hak untuk mengamalkan kepercayaan Islam mereka.

Mohd Ashraf berkata memroandum itu akan dihantar ke ​​Duta Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Ketua Setiausaha Pertubuhan Kerjasama Islam (IOC), Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen.

Julai lalu, satu memorandum sama dikemukakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) namun turut gagal diserahkan kepada Kedutaan Besar China. -MalaysiaGazette