Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan sikap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin yang sehingga kini masih belum mengambil tindakan terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, beliau hairan mengapa Muhyiddin yang merupakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berada dalam kerajaan tidak bertindak sedangkan kegusaran terhadap apa yang hendak dilakukan oleh NGO terbabit diluahkan oleh pimpinan parti itu sendiri.

Katanya, Dong Zong tetap tidak mahu membatalkan Kongres Pertubuhan China pada Sabtu ini yang bertujuan membantah penggunaan tulisan Jawi dalam pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina walaupun perkara tersebut telah diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 28 November lalu.

“Yang mendesak Dong Zong dan Jiao Zong diharamkan pun adalah pemimpin Bersatu termasuk Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi Biro Pendidikan Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamaruzaman menegaskan, di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk “mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau akhlak”.

Mengulas lanjut Kamaruzaman berkata, Kongres Pertubuhan Cina anjuran Dong Zong dan Jiao Zong itu tuurt akan mendatangkan huru-hara dan ketidakstabilan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemimpin Bersatu sendiri.

Malah katanya, yang mahukan Dong Zong dan Jiao Zong diharamkan adalah sebahagian besar orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti Malaysia, seperti terbukti dalam laporan polis yang dibuat oleh 40 NGO Melayu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang semalam.

“Jadi, mengapa Presiden Bersatu yang juga menteri dalam negeri masih belum mengambil apa-apa tindakan ke atas Dong Zong dan Jiao Zong sedangkan yang mahu tindakan diambil ke atas Dong Zong dan Jiao Zong adalah pemimpin Bersatu sendiri?

“Dan di mana suara Menteri Dalam Negeri dalam menangani keadaan ketidaktenteraman awam dan rusuhan yang bakal berlaku?” soalnya. – MalaysiaGazette