ALOR SETAR – Bekalan air bagi keperluan domestik dan pertanian di negeri Kedah mencukupi untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka bermula tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan dapat mengatasi sebarang sebarang krisis bekalan air sekiranya ia berlaku pada musim berkenaan.

Menurutnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut mengambil beberapa langkah persediaan, antaranya menguruskan bekalan air kepada penduduk di kawasan Bedong, Kuala Muda dengan menggunakan bekalan dari kawasan lain.

“Ini membolehkan bekalan air di Empangan Muda disalurkan dengan lebih baik kepada penduduk di kawasan Tanjung Dawai dan Merbok,” katanya kepada pemberita semasa mengulas persediaan kerajaan negeri menghadapi musim kemarau tidak lama lagi.

Terdahulu Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Suka Menanti menghadiri pelancaran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad. – Bernama