Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan tindakan beberapa pimpinan DAP apabila dilihat mencabar keputusan perintah larangan terhadap Kongres anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang sepatutnya diadakan di Kajang semalam.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, tindakan memprotes yang dilakukan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung perkara itu menunjukkan beliau seperti mencabar Perlembagaan Nagara tanpa mengendahkan agenda yang lebih penting iaitu menjaga keharmonian negara.

Malah katanya, tindakan pimpinan lain DAP juga bukan sekadar dalam hal tersebut sebaliknya ia turut berlaku ketika rusuhan di Kuil Sri Mariamman yang mengakibatkan kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib hingga menampakkan kedegilan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap keputusan pihak berkuasa.

“Jangan lupa bahawa, P. Waytha Moorthy pernah menyalahkan polis daerah Subang Jaya kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India.

“Lebih teruk lagi apabila Moorthy menuduh kenyataan salah daripada pihak polis telah mengakibatkan kaum India bertindak agresif sehingga berlaku rusuhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, pemimpin DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pernah menyatakan rasa terkilan kepada pihak polis dalam insiden berbalas tembakan dengan tiga orang perompak berbangsa India di Batu Caves.

Ujarnya, P. Ramasamy seolah-olah menyalahkan pihak polis kerana melepaskan tembakan, sedangkan pegawai yang bertugas hanya menjalankan tugas.

“Tindakan-tindakan tersebut jelas menunjukkan DAP sudah naik tocang sehinggakan tugas-tugas hakiki pihak berkuasa juga dipersoalkan.

“Adakah tindakan membantah arahan pihak berkuasa menjadi budaya dalam kerajaan Malaysia Baharu hari ini?” soalnya. – MalaysiaGazette