KUALA LUMPUR – Tanpa menunggu lama selepas muncul dengan lagu Kau Sakiti terbitan Faithful Music pada Julai lalu, penyanyi Amir Masdi kini tampil lagi mempertaruhkan buah tangan terbaharunya. Kali ini, single kelima berjudul Asmara mula kedengaran di corong radio dan pelantar muzik digital.
Juara Akademi Fantasia 2016 itu berkata, lagu itu cukup istimewa buat dirinya kerana dia turut memberikan sentuhan peribadi kepada Asmara.
“Kali ini saya bukan setakat hadir untuk merakamkan vokal sahaja, tetapi turut diberi peluang terlibat dalam proses susunan muzik bersama-sama komposer dan penerbit lagu ini.
“Lagu yang diberikan susunan muzik indah diadun pula dengan alunan vokal serak-serak basah saya dalam menyampaikan penceritaan lirik Asmara tentang gelora sukma seorang insan yang dibadai asmara.
“Saya berharap lagu ini dapat menaikkan lagi profil saya sebagai seorang penyanyi dan mampu membawa saya ke pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik.
“Sekurang-kurangnya, ianya dapat mengukuhkan lagi nama saya dan mengekalkan momentum kerjaya seni saya dalam industri muzik tempatan,” ujar pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi ini.
Sebelum ini, Amir pernah menghasilkan single berjudul Pemilik Cinta pada 2016 bersama Astro dan kemudiannya menghasilkan single berjudl Waktu (2017) dan Puas (2018) bersama Nova Music.
Mengulas tentang perjalanan seninya yang bukan kebiasaan merakam lagu dengan banyak syarikat rakaman dalam tempoh masa yang singkat, Amir berkata, apa yang terjadi sebenarnya adalah kebetulan dan bukan perancangan untuk berbuat begitu.
Jelasnya, untuk terus kekal relevan dalam industri, penyanyi harus merebut setiap peluang yang tiba.
“Saya bersyukur kerana masih ada yang yakin dengan bakat dan potensi saya. Saya juga merasa amat bertuah kerana pengalaman bekerja dengan syarikat rakaman yang berlainan ini telah memberikan saya peluang menimba banyak ilmu tentang muzik dan penerbitan lagu kerana masing-masing ada cara dan gaya yang tersendiri.
“Kali ini, saya bekerjasama sekali lagi dengan Nova Music yang telah menjalin kerjasama dengan Seventeen Eleven Music dalam penerbitan dan pemasaran Asmara.
“Saya percaya dengan kekuatan gabungan kedua-dua syarikat rakaman ini, single terbaru saya ini boleh mendapat pendedahan yang lebih meluas. Hubungan kerjasama yang rapat antara Nova Music /Seventeen Eleven Music dengan syarikat produksi drama tempatan meyakinkan saya lagi dengan kemampuan mereka kerana kerjasama strategik ini banyak membantu dalam memperkenalkan sesebuah lagu itu kepada khalayak,” jelasnya.
Amir turut meluahkan rasa gembira apabila single terbaharunya ini bakal diangkat sebagai lagu runut bunyi (OST) drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose.
Drama bersiri 24 episod itu ula bersiaran pada 24 Disember lalu di slot drama terbaru Drama Vaganza di Astro Ria.
Sementara itu, Asmara merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham manakala lirik pula ditulis oleh trio komposer ini bersama penerbit drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis iaitu Arisz Ab Rahman.
Sebelum ini, gandingan sentuhan Ikhwan dan Ayden telah menghasilkan antara lagu hit tahun ini termasuk Kisah Cinta Kita nyanyi Hafiz Suip, Pujaan Hati (Adira Suhaimi) dan Takdir Tercipta” (Hafiz & Adira).
Dalam pada itu, Asmara terbitan Nova Music dan Seventeen Eleven Music kini boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes.
Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan https://youtu.be/si-Z_NMiXR8. – MalaysiaGazette