Anggota bomba, Samuel McPaul, maut selepas trak bomba yang dinaiki menghempapnya. foto Agensi

SYDNEY – Seorang sukarelawan bomba terbunuh selepas dihempap trak yang dinaikinya, menurut perkhidmatan bomba luar (RFS) bandar New South Wales (NSW).

Kejadian itu berlaku Ahad lalu apabila angin kencang di sempadan NSW-Victoria telah menyebabkan trak seberat 10 tan itu berpusing dan kemudian terbalik.

Mangsa, Samuel McPaul, 28, merupakan bakal bapa yang sedang menunggu kelahiran bayi pertama.

Setakat ini, sejumlah 10 orang mangsa telah meninggal dunia dalam kejadian kebakaran belukar sejak September lalu.

Pada awal Disember, dua sukarelawan bomba maut ketika sedang ‘bertempur’ dengan kebakaran dekat Sydney.

“Kehilangan rakan kami adalah satu tragik,” kata Pesuruhjaya RFS, Shane Fitzsimmons yang mengulas kematian McPaul.

McPaul mati ditempat kejadian manakala pemandunya mengalami kecederaan ringan dan seorang lagi mangsa cedera parah.

Sebuah lagi kenderaan bomba yang turut berpusing di kawasan sama dan beberapa anggota bomba di dalamnya turut diberi rawatan kecemasan.

Ahli meteorologi mengatakan sistem iklim di Lautan Hindi, yang dikenali sebagai dipole, adalah punca utama yang menyebabkan berlaku gelombang haba melampau di Australia.

Suhu melebihi 40C (104F) di setiap negeri pada permulaan minggu ini, dengan angin kencang dan kilat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.