KUALA LUMPUR – Kesibukan bekerja, bimbang tidak akan dapat memberikan sepenuhnya perhatian faktor pelakon, Rozita Che Wan selesa dengan mempunyai tiga orang anak buat masa ini.

Meskipun tidak menolak rezeki untuk mengandung lagi, namun Che Ta berkata, membesarkan anak merupakan cabaran besar pada zaman ini dan kerana mereka memerlukan perhatian yang cukup daripada ibu bapa.

Justeru itu beliau selesa dengan hanya tiga orang anak kerana baginya kualiti lebih penting daripada kuantiti.

“Saya tidaklah kata nak tutup kilang (tidak mahu mengandung), saya pun dah nak cecah 47 tahun. Nak beranak itu memang senang, tapi nak membesarkan anak-anak itu yang agak mencabar pada zaman sekarang.

“Kalau saya suri rumah sepenuh masa, saya rasa saya boleh sahaja kalau nak beranak tiap-tiap tahun. Tapi sebab saya bekerja, perkara itu agak mustahil, sebab kita bukan sekadar kena bagi kasih sayang sahaja.

“Kita kena juga bagi sepenuh perhatian pada anak-anak. Saya tak rasa saya mampu beri benda itu sekiranya dikurniakan anak lagi. Bagi saya cukuplah tiga anak yang saya ada ini, biar kualiti daripada kuantiti,” katanya ketika ditemui pada Festival LIFT Putrajaya 2019 yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Untuk rekod, Che Ta dan Zain Saidin yang mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lima tahun.

Che Ta turut mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Effendy, 23, dan Aniq Ezra, 21.

Sementara itu Che Ta memaklumkan akan kembali sibuk tahun ini apabila bakal ke Uzbekistan pada Febuari ini untuk pengambaran.

Perniagaannya juga akan berkembang apabila melancarkan produk terbaharu.

“Menjelang 2020, saya akan kembali ke set penggambaran dan akan terbang ke Uzbekistan di bawah produksi Zeel Production. Selain itu, syarikat produksi saya Padusi sudah merangka rancangan bagi menerbitkan lagi pelbagai program bermutu untuk tayangan tahun depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette