Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

BAYAN LEPAS – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini enggan mengulas lanjut mengenai pemberian kontrak Toyota Vellfire dan Honda untuk menteri dan pegawai kanan kerajaan.

“Tunggu keputusan kabinet,” itu reaksi ringkasnya.

Menurutnya, semua kelulusan bergantung kepada keputusan jemaah menteri.

“Kita berpandukan kepada keputusan kabinet,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini hari ini.

Guan Eng sebelum itu ditanya mengenai pemberian kontrak kenderaan melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 Honda Accord untuk menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet telah berbincang kaedah terbaik yang dapat memberikan penjimatan kepada kerajaan.

“Antara yang dibincangkan ialah pemberian elaun kenderaan atau menyediakan kereta rasmi.

“Perkara ini nanti akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Semalam sebuah portal mendedahkan mengenai kontrak kenderaan yang bakal ditawarkan kepada beberapa pembida selepas kontrak 25 tahun oleh Spanco tamat hujung tahun ini.

Difahamkan kerajaan juga bercadang menggantikan 1,300 unit kenderaan penguatkuasaan dalam tempoh lima tahun akan datang dan juga 8,000 unit Proton Persona dan Saga untuk kegunaan jabatan kerajaan.

Kontrak baharu selama hanya 15 tahun membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas tahun kelima.

Syarikat yang akan membida untuk kontrak tersebut ialah Spanco, Kumpulan Naza, Berjaya, Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.