Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar diiringi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga kiri) dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanic Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 05 JANUARI 2020

KLANG – Kerajaan tetap akan menaikkan tarif air di seluruh negara tahun ini bagi mengatasi masalah rizab bekalan itu yang sangat kritikal, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, mana-mana negeri yang belum bersedia berbuat demikian diminta mengemukakan mekanisme masing-masing kepada kementerian itu untuk dibincangkan.

“Saya memang konsisten dengan apa yang saya kata ini (untuk menaikkan tarif air). Kalau kita tidak ada kerjasama dari semua pihak (negeri) untuk pastikan industri air ini akan naik taraf, kita akan berdepan dengan masalah rizab air yang sangat kritikal.

“Semua kena faham industri air ini mesti ada bajet yang besar dan pastikan kita dapat air 24 jam, 365 hari setahun, rakyat kena terima hakikat kenaikan tarif air ini.

“Kita tidak boleh ada rizab yang sangat rendah di semua negeri termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Rizab air ini kena meningkat dan untuk meningkatkan rizab ini, kita kena ada belanja yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas menyempurnakan program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui penanaman pokok di Kolam Tadahan, Bandar Puteri hari ini.

Menurut Xavier, kerajaan Persekutuan akan memastikan dalam tempoh lima tahun akan datang masalah air yang kritikal di seluruh negara akan dapat diselesaikan.

Beliau bersedia untuk meneruskan program meningkatkan taraf air menerusi program yang telah dirancang, walaupun akan menerima kecaman dari beberapa negeri yang belum bersedia menaikkan tarif air.

Beliau menjelaskan, antara cabaran dihadapi kementeriannya ialah untuk mendapatkan bajet yang cukup bagi meningkatkan taraf atau perkhidmatan industri air dalam negara.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Amirudin Harun bahawa tarif air di negeri itu  kekal pada kadar yang sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun ini,  Xavier  akan berbincang dalam tempoh terdekat ini.

“Negeri Sembilan kata tarif air tak akan naik, tak apa saya akan bincang dengan Menteri Besar.

“Kalau dia kata tidak akan naikkan, dia kena ada mekanisme yang lain yang kena bawa kepada kementerian ini untuk tunjukkan tidak ada masalah air dalam negeri itu atau mana-mana negeri.

“Tetapi kita tahu ada negeri dan situasinya memang keadaan airnya agak kritikal dan kalau kita tidak buat apa-apa, dalam tempoh lima tahun akan datang kita akan ada masalah air yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette