Industri ternakan tenusu terjejas sejak kebakaran hutan melanda Australia sejak September tahun lalu. foto Agensi

SYDNEY – Kebakaran belukar di seluruh pantai timur Australia dijangka menimbulkan ‘kesakitan’ yang lebih besar bagi industri tenusu negara ini yang telah terjejas oleh kemarau yang berpanjangan.

Disebabkan permasalahan ini, bekalan susu dari Australia dijangka semakin ketat.

Australia telah memerangi kebakaran hutan yang telah memusnahkan lebih daripada 6 juta hektar tanah dan mengorbankan hidupan liar dan ternakan serta 24 nyawa.

Kebakaran telah melanda kawasan tenusu utama di sepanjang pantai selatan New South Wales, yang mana banyak pengeluar berdepan dengan kemarau selama tiga tahun dan di Gippsland Timur di Victoria.

Kawasan-kawasan yang terbakar merupakan kira-kira sepertiga daripada pengeluaran susu negara, menurut data daripada kumpulan industri tenusu Australia.

“Setakat ini gambar penuh insiden ini belum diperoleh. Beratus-ratus, mungkin beribu-ribu lembu hilang, kita perlu menunggu penilaian penuh tetapi impaknya akan membinasakan,” kata Phin Ziebell, penganalisis agribisnis National Australia Bank.

Australia adalah pengeksport tenusu terbesar di dunia, pembekal kepada pasaran Asia dengan produk seperti susu segar, mentega dan keju, serta susu tepung.

Tenusu adalah industri pedalaman keempat terbesar di Australia dengan bernilai A$ 3.3 bilion (AS$ 2.3 bilion).

Malah, sebelum kebakaran, pengeluaran susu Australia dijangka jatuh ke paras terendah dalam tempoh 22 tahun akibat kemarau, menurut peramal utama komoditi negara itu, menyebabkan pengeluar berebut untuk memenuhi bekalan yang mencukupi.

Tetapi, pada masa ini, para penternak sedang bergelut untuk mendapatkan makanan untuk ternakan, yang boleh menjejaskan pengeluaran susu dan pembiakan.

“Banyak jalan ditutup menyukarkan para penternak mendapatkan makanan,” kata Paul Mumford, seorang petani tenusu di Won Wron, 210 kilometer dari timur Melbourne.

Tambahnya, kebakaran yang melanda Australia telah membunuh kawanan lembu yang baru membiak dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk membina semula.

Bega Cheese, pemproses terbesar milik Australia, berkata, kebakaran yang berlaku secara tidak langsung mempengaruhi kemudahan pengeluarannya dan menyukarkan beberapa pembekal.

“Kami bekerjasama rapat dengan pekerja, pembekal ladang tenusu dan pembekal pengangkutan untuk memastikan susu boleh disampaikan dan diproses,” kata ketua eksekutif Paul van Heerwaarden.

Saham Bega jatuh sebanyak 10 peratus pada hari Isnin.

Pemproses besar lain termasuk Murray Goulburn, yang dimiliki oleh Saputo Kanada, dan Fonterra New Zealand.- MalaysiaGazette