Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – “Mana ada percanggahan keterangan di sini? Datuk Najib sudah memberikan penjelasan malah beliau tidak kata tidak menandatangani dokumen sebaliknya melahirkan rasa ragu-ragunya terhadap ketulenan tandatangan itu.

“Beliau juga telah memohon pakar tulisan tangan untuk memberikan pandangan berhubung perkara tersebut esok.

“Permohonan ini langsung tidak boleh dipandang dan tidak sepatutnya berlaku. Sebenarnya permohonan ini adalah untuk mengelak permohonan pengesahan oleh pakar tulis tangan, itu sahaja,” kata Peguam Harvinderjit Singh.

Beliau merupakan peguam Datuk Seri Najib Razak bagi kes SRC International membabitkan penyelewengan dana bernilai RM42 juta.

Harvinderjit berkata demikian ketika berhujah di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung permohonan pasukan pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan (impeachment) ke atas Najib kerana didakwa memberikan keterangan bercanggah di mahkamah dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan bela Najib kemudian bangkit dan memberitahu ada cubaan oleh pasukan pendakwaan mengenakan tindakan ke atas anak guamnya dengan niat tidak baik.

Shafee menyoal rasional mengapa pendakwaan membuat permohonan percanggahan pada hari ini sedangkan pasukan beliau sudah membuat permohonan mendapatkan pakar tulis tangan yang akan di dengar esok di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu bagi mendapatkan pengesahan daripada pakar untuk mengesahkan tandatangan yang ada dalam dokumen penting SRC sebelum ini.

“Lagi kamu buat begini, lagi kami bersemangat dan giat dalam mendapatkan permohonan kami esok.

“Ada kekurangan ‘bona fide’ dalam permohonan pendakwaan sedangkan esok permohonan untuk pakar melihat pelbagai dokumen penting berkaitan tandatangan oleh Najib sebelum mendedahkannya di mahkamah kesahihan semua tandatangan itu,” tegasnya.

Bagaimanapun Mohd Nazlan telah membenarkan permohonan untuk membicarakan Najib bagi mencabar kebolehpercayaan (impeachment) kerana memberikan keterangan bercanggah di mahkamah dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setelah teliti semua hujah-hujah, saya berpendapat permohonan oleh pasukan pendakwaan untuk memulakan impeachment terhadap tertuduh berhubung dakwaan percanggahan dalam kenyataan tambahan saksi dan kenyataan diberikan kepada SPRM bukan tanpa merit.

“Mahkamah akan ditunjukan di manakah percanggahan yang didakwa oleh pendakwaan, kita tangguh dulu perbicaraan sehingga jam 2 petang ini,” katanya. – MalaysiaGazette