KUALA LUMPUR – Pelabur-pelabur asing melupuskan sejumlah RM11.14 bilion ekuiti tempatan pada tahun 2019, lebih rendah berbanding RM11.69 bilion pada tahun sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, pelabur-pelabur asing membeli RM28.6 juta saham di Bursa Malaysia pada minggu lalu berbanding RM69.9 juta pada minggu sebelumnya.

Ia merupakan permulaan yang baik bagi bursa selepas dana-dana asing membeli RM42.9 juta ekuiti tempatan pada hari Isnin, mendorong saham tempatan naik 0.3 peratus kepada 1,615.7 mata pada hari sama – kedudukan itu tidak dicapai hampir lima bulan.

“Hari dagangan terakhir pada 2019 kemudian menyaksikan pengaliran keluar dana asing berjumlah RM196.2 juta mengheret bursa tempatan susut sebanyak 1.7% untuk berada di bawah paras 1,600 kepada 1,588.8 mata walaupun Donald Trump bersetuju untuk menandatangani perjanjian perdagangan pada 15 Januari 2019,” katanya.

MIDF Research menambah, ketika pasaran dibuka semula pada hari Khamis selepas cuti Tahun Baru, dana antarabangsa membuat pulangan yang baik kepada bursa dengan membeli RM14.9 juta ekuiti tempatan.

Pelabur luar pesisir mengambil peluang petunjuk Indeks Pembelian Pengurus Pembuatan Malaysia (PMI) yang naik sehingga 50 pada Disember 2019, kenaikan kali pertama sejak September 2018.

“Dana antarabangsa kemudian menaikkan rentak dalam aktiviti pembelian untuk membeli ekuiti tempatan sebanyak RM167.0 juta pada hari Jumaat, aliran masuk asing harian harian terbesar dalam tempoh lebih daripada dua bulan – menyaksikan kenaikan 0.6% lebih tinggi untuk ditutup pada 1,611.4 mata pada hari yang sama,” kata MIDF Research.

Tambahnya, walaupun jumlah aliran keluar bersih asing dari Malaysia tidak banyak berubah pada tahun 2019 dan kekal sebagai yang terbesar dalam kalangan pasaran ASEAN, ia tidak sepadan dengan penjualan bersih asing yang besar sebanyak RM19.49 bilion pada tahun 2015.

Dari segi penyertaan, pelabur asing mendapat keuntungan terbesar dalam nilai dagangan harian purata (ADTV) dalam kalangan kumpulan pelabur yang lain dengan peningkatan 59.6% tetapi masih di bawah paras RM1.0 bilion. – MalaysiaGazette