KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini membuat pemeriksaan mengejut terhadap perkhidmatan teksi motosikal yang mula beroperasi sejak 1 Januari lalu.
Tanpa memaklumkan syarikat Dego Ride, beliau menjadi penumpang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut dan memantau aspek pematuhan peraturan dan keselamatan diutamakan.
Selama lebih kurang 10 minit menggunakan pekhidmatan Dego Ride dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke stesen LRT Pasar Seni, beliau berpuas hati dengan cara penunggang membawa penumpang.
Anthony berkata, beliau menunggu kira-kira 15 minit penunggang Dego Ride selepas membuat tempahan menerusi aplikasi atas talian.
“Memang saya tidak memaklumkan pihak Dego Ride, penunggang tidak tahu siapa yang beliau bawa, ini spot check sejauh mana merela mematuhi peraturan keselamatan aplikasi tersebut ambil masa 15 minit saya tunggu.
“Perkhidmatan itu di peringkat awal ini tidak banyak motosikal menggunakan perkhidmatan. Dalam perkhidmatan masa kurang 10 minit sampai ke sini saya lihat mereka memang bersedia memberikan helmet kepada penumpang, kelajuan sederhana dalam keadaan kesesakan lalu lintas tadi. Penunggang juga mematuhi lampu isyarat, tidak memecut
“Itu petanda baik dan kita harap mesti diteruskan. Pesanan saya mesti mematuhi semua unsur keselamatan, kita akan memantau dari semasa ke semasa termasuklah data mereka menerusi syarikat mereka yang telah berdaftar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media pada majlis lawatan jejantas Transit Aliran Massa (MRT) di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Pasar Seni hari ini.
Dalam tempoh enam bulan tempoh percubaan teksi motosikal ini, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan akan membuat pemeriksaan secara mengejut kepada penunggang untuk memantau sejauh mana peraturan dipatuhi khususnya menilai aspek keselamatan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan unsur keselamatan, kerajaan bersetuju percubaan enam bulan untuk lihat sejauh mana beri keselamatan ini mesti dipatuhi. Saya mintak pengendali beri perhatian ciri-ciri keselamatan.
“Saya akan mengintip mereka, kita bukan buat audit kepada syarikat mereka, kita minta pegawai menyamar jadi penumpang, adakah syarat-syarat itu (keselamatan) dipatuhi,” katanya.
Menurut Anthony, setakat ini hanya satu syarikat yang berdaftar dengan perkhidmatan teksi motosikal yang mula diperkenalkan 1 Januari lalu iaitu Dego Ride.
Sebagai permulaan seramai 500 penunggang disediakan untuk beroperasi di sekitar pusat bandar, katanya.
Dego Ride merupakan syarikat pertama yang berdaftar sebagai teksi motosikal sejak 2016 sebelum perkhidmatan tersebut diharamkan beroperasi atas alasan keselamatan.
Syarikat itu kini kembali beroperasi sebagai proses rintis atau Proof of Concept (POC) selepas mendapat kelulusan khas daripada Kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun, perkhimatan ini beroperasi dalam tempoh enam bulan bagi membolehkan kerajaan menilai pelaksanaannya dan merangka undang-undang dan peraturan sebelum perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Perkhidmatan teksi motosikal ini adalah salah satu inisatif kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam selain menangani masalah kesesakan di pusat bandaraya. -MalaysiaGazette
















