KUALA LUMPUR – Pelakon Zain Saidin berkata, laporan berita tentang rakan kongsinya yang rugi RM300,000 selepas menjalin kerjasamanya ditokok tambah.
Zain enggan mengulas lanjut dakwaan itu kerana berpendapat ia akan hanya membuka aib dan memalukan rakan kongsinya, Warren atau nama Islamnya Adam Warren Fernandez Abdullah.
“Saya malas nak panjangkan isu ini kerana ia akan membuka aib pihak sebelah sana. Saya tak nak malukan sesiapa. Berdasarkan cerita yang dibaca, seperti ada ‘penambahan garam’ dalam artikel disiarkan sebuah portal apabila isu tersebar bukan 100 peratus benar.
“Sebagai rakan kongsi, apabila nasihat diberi bagi memajukan perniagaan diambil enteng dan saya boleh rasa apa yang bakal terjadi dengan perniagaan itu pada masa akan datang, semestinya saya akan menarik diri.
“Banyak lagi perkara lain yang berbangkit, tetapi ia adalah cerita peribadi antara kami. Ia tidak patut didedahkan kepada umum,” katanya.
Untuk rekod, Warren atau nama Islamnya Adam Warren Fernandez Abdullah menerusi status di Facebook menyifatkan 2019 sebagai mimpi ngeri buatnya sebagai usahawan selepas kerjasama dengan Zain dalam perniagaan didakwa lingkup.
Selain dakwaan menanggung hutang ratusan ribu ringgit, lelaki itu turut menyatakan nyawanya terancam selepas diburu ah long.
Zain turut menganggap isu itu tidak patut didedahkan kepada umum dan media sosial, sebaliknya mereka berdua patut berbincang.
Beliau berkata, perniagaan tersebut tidak berjaya kerana kurang promosi.
“Tetapi percayalah, tanpa ilmu pengetahuan sebenar, sukar untuk kita berniaga. Apa yang saya lihat, usahawan sekarang cukup takut melaburkan wang untuk pemasaran. Mereka menganggap ia sebagai ‘pemasaran hangus’,” tambahnya. – MalaysiaGazette