Foto Agensi

MANCHESTER – Manchester United mampu melakukan kebangkitan luar biasa walaupun tewas kepada Manchester City 1-3 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Old Trafford.

Pengurus City, Pep Guardiola berkata, anak buahnya perlu berwaspada dengan keupayaan anak buah Ole Gunnar Solskjaer yang bangkit daripada ketinggalan 2-0 di laman sendiri untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu.

“Ini keputusan yang baik tetapi belum penamat kerana mereka adalah United.

“Contoh terbaik musim lalu ketika menentang PSG. Saya harap di hadapan penyokong sendiri kami mampu menampilkan persembahan terbaik dan mara ke final,” kata Guardiola selepas perlawanan berakhir.

City yang merupakan juara bertahan itu menguasai permainan di babak pertama dengan jaringan Bernardo Silva, Riyad Mahrez serta gol sendiri daripada Andreas Pereira untuk meletakkan pelawat di depan.

Kapten United Marcus Rashford merapatkan jurang buat tuan rumah 20 minit sebelum tamat permainan, tetapi berdepan tugas sukar di Etihad pada aksi timbal balik 29 Januari ini.

United telah membuktikan musim ini yang Etihad bukan laman keramat City apabila mengejutkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu 2-1 bulan lalu.

Tetapi City kembali menunjukkan penguasaan ke atas seterunya itu dengan memenangi perlawanan ketiga berturut-turut di Old Trafford dan keempat daripada lima perlawanan di laman tetangganya itu sejak Guardiola membimbing pasukan. – MalaysiaGazette