Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K Devan.

KUALA LUMPUR – Persiapan pra musim yang lebih panjang ekoran Liga Malaysia bermula 28 Februari depan mengundang hikmah kepada kelab PJ City dalam mencari keserasian pasukan selepas mengambil kira-kira 80 peratus muka baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Menurut ketua jurulatih PJ City, K Devan, beliau tidak ada sebarang masalah dengan kelewatan liga yang berehat hampir empat bulan apabila mengakui situasi itu memberi kelebihan kepada pasukannya.

Ujarnya, bukan mudah untuk membentuk satu pasukan yang rata-ratanya muka baharu terutama dalam memahami corak permainan pasukan jika tempoh persiapan singkat memandangkan sasaran tinggi ditetapkan oleh pengurusan bagi musim 2020.

“Liga bermula lambat ini berikan kelebihan kepada kami dalam membuat perancangan latihan yang lebih tersusun kerana rata-rata skuad ini terdiri daripada majoriti muka baharu dan sudah tentu kami memerlukan masa lebih lama.

“Perkara yang kami berikan perhatian ialah membina persefahaman sesama pemain, memastikan mereka faham dengan taktikal pasukan serta meletakkan kecergasan pemain di tahap tertinggi.

“Kami hanya kekalkan lapan sahaja pemain daripada musim lalu termasuk dua pemain import kerana kami berjaya mendapatkan lebih ramai pemain berkualiti berbanding musim lalu serta jumlah pemain senior serta muda yang seimbang, “ katanya.

Sebelum ini badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan jadual Liga Malaysia akan bermula pada 28 Februari ini untuk memberikan laluan kepada pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) yang akan berjalan mulai musim 2020.

Pada tahun kemunculan sulung PJ City musim lalu, kelab berpengkalan di Petaling Jaya itu meraih kedudukan kelapan Liga Super selepas mengutip 26 mata daripada 22 perlawanan.

Justeru, PJ City jelas mahu meletakkan sasaran lebih tinggi apabila berjaya mendapatkan ramai pemain berkualiti seperti M Kogileswaran, Amer Saidin, K Reuben dan Syazwan Zaipol Bahari.

Namun, Devan menafikan pihaknya berbelanja terlalu tinggi serta memberikan gaji yang lebih mahal kepada sebahagian besar pemain tersebut sebaliknya bekerja dalam bajet yang berpatutan.

“Mungkin ada sedikit peningkatan berbanding musim lalu yang mana kami bekerja dalam bajet yang terhad tetapi pengurusan bijak mengawal perbelanjaan sebaik mungkin.

“Kami tidak ada niat hendak melawan pasukan besar namun kami ada letakkan formula tersendiri dengan posisi tertentu kami letakkan bajet lebih baik manakala di posisi lain mungkin kami akan kurangkan.

“ Apa yang penting, majikan PJ City sentiasa bersikap profesional dalam menjaga imej serta prestij kelab kerana tidak mahu terpalit dengan sebarang isu tunggakan gaji, “ katanya. – MalaysiaGazette