Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Keputusan MARA untuk memberikan fokus kepada bidang pendidikan adalah keputusan yang baik tetapi ia bukan sesuatu yang baharu, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pengupayaan orang Melayu dan bumiputera menggunakan instrumen pendidikan telah dilaksanakan oleh UMNO selama berpuluh tahun menerusi MARA,  Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta lain-lain institusi pendidikan di bawah Mara.

ADUN Rantau itu menegaskan, tanpa perjuangan UMNO, MARA dan pelaburan dalam bidang pendidikan untuk orang Melayu tidak mungkin berlaku.

“Malah melalui MARA lah, ratusan ribu kaum Melayu/bumiputera telah diupayakan melalui MRSM, pembiayaan pendidikan tinggi dan penubuhan pelbagai institusi pendidikan tinggi di bawah UniKL,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Mohamad mengulas hasrat MARA yang mahu menutup perniagaan serta pelaburannya dan kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana untuk agensi itu berbuat demikian.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, semasa UMNO mentadbir, MARA juga berperanan membantu membangunkan keupayaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Beliau menarik perhatian mengenai peranan MARA sebagai agensi terawal yang diberikan mandat untuk membantu keusahawanan golongan Melayu/bumiputera tanpa mengabaikan kepentingan peranannya dalam sektor pendidikan.

Katanya, jika kerajaan Pakatan Harapan ingin MARA meninggalkan misi perniagaannya, maka mereka harus menjelaskan bagaimanakah dana endowmen yang dicadang untuk ditubuhkan itu akan dibiayai dan apakah strategi untuk melestarikannya.

“Penubuhan dana endowmen yang akhirnya bergantung penuh kepada kerajaan, tidak akan menjadi lestari dan mapan,” katanya.

Mohamad berkata, amat penting untuk kerajaan mencari kedinamikan baru kepada semua aktivit pelaburan dan perniagaan MARA sedia ada, tanpa perlu memberhentikan atau menutup operasi perniagaan terbabit.

“Penyelesaian terbaik ialah dengan langkah memperkasakan dan menambah nilai kedua dua peranan MARA dalam pendidikan dan perniagaan dengan memberikan impetus dan sentuhan profesional bakat tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette