Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan rakaman perbualan telefon yang didakwa melibatkan Datuk Seri Najib Razak sepatutnya diserahkan terus kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya bukan diperdengarkan kepada umum.

Negara ujarnya mempunyai institusi undang-undang mampu menggalas tanggungjawab untuk menyiasatnya bukannya dengan mendedahkannya kepada rakyat .

Baginya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya menjadikan rakaman itu untuk menjadikan rakyat hakim apatah lagi ia berkaitan kes individu tertentu.

“Komen saya, (rakaman) audio ini tidak boleh jadi saksi. Audio ini ialah satu keterangan sahajalah yang perlu serah kepada pihak berkenaan untuk siasat. Serah kepada polis, pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak kehakiman.

“Bukan rakyat yang membuat keputusan. Kita ada mahkamah dan kita ada institusi yang menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan pula kita menjadikan rakyat sebagai hakim. Rakyat jadi hakim semasa pilihan raya sahaja. Kes yang berkait dengan individu, tak boleh,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang pendedahan SPRM pada 8 Januari lalu tentang rakaman perbualan telefon 7 individu termasuk Datuk Seri Najib Razak yang berdurasi 45 minit didakwa melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah, skadal ega syarikat SRC International Sdn Bhd dan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terkini, Najib dilaporkan akan membuat permohonan mendapatkan rakaman tersebut.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mendapatkan rakaman tersebut kerana ia dipercayai boleh membantu anak guamnya dalam kes perbicaraan yang sedang berlangsung.-MalaysiaGazette