Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkemaskan lagi konsep pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang mengenai bahana merokok.

Ini, menurut Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, ia selari dengan polisi larangan merokok di premis makanan yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

“Saya berpendapat kempen kesedaran seperti “Tak Nak Merokok”, kaunseling atau perkhidmatan klinik berhenti merokok dan lain-lain perlu diperkasakan lagi.

“Ini demi memastikan peratusan perokok di negara ini termasuk rokok elektronik dapat dikurangkan dan usahasama antara kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan-badan awam perlu bagi memastikan kempen ini dapat mencapai sasarannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Che Alias, berdasarkan laporan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020, seramai 4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok.

Daripada jumlah itu, katanya, dianggarkan 27,200 penduduk Malaysia terbunuh akibat penggunaan tembakau setiap tahun.

“Seharusnya kerajaan menggembleng usaha dan komited menurunkan 15 peratus perokok menjelang 2025 dan mencapai sasaran negara bebas asap rokok pada 2045 sejajar dengan Sasaran Global Non-Communicable Diseases (NCD) bagi menurunkan peratusan merokok sebanyak 30 peratus pada tahun 2025,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pembinaan ruangan khas merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik PBT di seluruh negara.

Katanya, perkara ini jelas sekali tidak mempunyai apa-apa kepentingan, bahkan kurang wajar untuk diberi keutamaan pada masa ini.

“Tambahan lagi, perkara ini seolah bertentangan dengan usaha untuk mengurangkan tabiat merokok di tempat awam serta mengamalkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malah, ia sebaliknya dilihat sebagai suatu galakan kepada masyarakat untuk terus merokok dan tidak mustahil keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan juga akan goyah,” katanya. –

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast