Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bersama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Pamuzi Yahya dan Bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim hadir pada Majlis Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Tahun 2020 dan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan dan Serah-Terima Tugas Ketua Pengarah JAKIM di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 13 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Dakwaan Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meminggirkan Perlembagaan Persekutuan tidak betul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, jabatan itu telah lama wujud dengan nama asalnya Unit Agama di JPM sebelum ditukar kepada Hal Ehwal Islam yang berfungsi di peringkat persekutuan.

Kemudian, katanya, selepas itu baru dinamakan Jakim untuk menyambut keperluan semasa yang semakin membesar dan lebar termasuk peruntukannya.

“Tahun 2020 ini dimulakan dengan satu isu besar iaitu permasalahan yang dibangkitkan G25 mengenai mengenai Jakim.
Saya ingin menjelaskan, apa yang dibangkitkan G25 itu sebenarnya adalah pelaporan kepada majlis atau jawatankuasa tertinggi agama yang telah ditubuhkan secara one-off untuk mengumpul semua maklumat mengenai pentadbiran Islam di negara ini.

“Salah satu koresponden yang beri pandangan kepada jawatankuasa ini ialah G25. Kumpulan ini telah menyediakan laporan terhadap pandangan mereka kepada pentadbiran Islam dengan menyentuh sebahagian besarnya peranan Jakim.

“Cuma malangnya, kita masih menunggu secara menyeluruh laporan jawatankuasa tertinggi agama ini yang sepatutnya mereka bentangkan kepada kita tahun lepas, tapi saya akan minta segerakan kerana kita perlu melihat pandangan itu secara menyeluruh, bukan melihat satu pihak daripada G25 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Tahun 2020 dan majlis penyerahan surat pelantikan dan serah terima tugas Ketua Pengarah Jakim di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Sabtu lalu, Kumpulan G25 mendakwa kerajaan sebelum ini telah meminggirkan Perlembagaan apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jakim.

Dalam laporan yang dikeluarkan G25 bertajuk, Perkara Pentadbiran Mengenai Islam itu, kumpulan berkenaan mendakwa, tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk kedua-dua agensi itu ditubuhkan di peringkat nasional.

Kata laporan itu lagi, perkara yang berkaitan dengan agama dan orang Islam serta adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan dan majlis eksekutif negeri.

Menurut Mujahid, perkara asas yang dibangkitkan itu perlu diperbetulkan pihaknya bahawa Jakim ditubuhkan hasil daripada evolusi pentadbiran Islam di peringkat persekutuan sejak awal lagi.

Katanya, jika ada kelemahan mengenai perkara asas itu seperti pentadbiran dan pendekatan, ia adalah biasa yang boleh diperbaiki.

Beliau hairan kenapa G25 membangkitkan perkara itu sedangkan pihaknya telah memberi penjelasan dalam dua perjumpaan dengan kumpulan itu pada 2018 dan 2019.

Mengenai peruntukan besar diterima Jakim yang turut dipersoalkan G25, Mujahid berkata, peruntukan RM1.3 bilion yang diluluskan kerajaan pada Bajet 2020 adalah untuk membayar gaji, elaun dan pentadbiran imam, guru tahfiz, guru Kafa, kakitangan di bawah agensinya.

Menurutnya, sebanyak 60 peratus daripada peruntukan yang diterima itu untuk bayar gaji dan elaun berkenaan, manakala baki 40 peratus adalah untuk pentadbiran seperti gaji kakitangan Jakim dan agensi di bawah jabatan itu.

“Apa yang fobia sangat dengan peruntukan besar, sedangkan peruntukan itu adalah untuk elaun kepada mereka yang bertugas di kampung, di masjid yang mengajar anak kita yang mengikut Kelas Fardu Ain.

“Sepatutnya mereka berterima kasih kerana kita menguruskan semua hal-hal ini, dan segala urusan imam, guru tahmir, guru Kafa dan pegawai majlis semuanya gaji dan elaun mereka kita yang bayar.

“Jadi, itulah peranan Jakim, menguruskan semua perkara itu dan ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan. Sebab Islam adalah agama persekutuan, yang menetapkan kerajaan boleh menentukan kedudukan pentadbiran dan kewangan untuk pentadbiran Islam di peringkat persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata, peruntukan itu juga secara tidak langsung berhubungan dengan negeri-negeri dalam satu penyelarasan yang sudah dibina sistemnya.

“Lainlah kalau Jakim campur tangan urusan negeri, itu betullah bercanggah tetapi dalam semua keadaan kita ada platform untuk berurus dengan negeri melalui penyelarasan negeri-negeri.

“Apa sahaja pandangan Jakim dari sudut penyelarasan tidak akan membelakangkan negeri-negeri dan kuasa sultan yang ada,” katanya.

Katanya, beliau tidak larat lagi hendak menjelaskan kepada G25 mengenai perkara dibangkitkan kerana sudah dijelaskan secara bersemuka sebelum ini.

“G25 jumpa kami dan kami jelaskan kepadanya, tetapi kenapa perkara ini masih dibangkitkan lagi, saya pun tak tahu.
“Hari ini timbul yang mereka (G25) tak faham, Jakim menguatkuasakan undang-undang, Jakim tangkap orang. Ini pun satu perkara yang tidak betul kerana kami tidak pernah kuatkuasakan apa-apa.

“Yang kuatkuasa ialah negeri-negeri. Dan memang kita ada bincang mengenai kod etika sebagai satu sumbangan kita supaya penguatkuasaan itu dibuat dengan lebih berhemah.

“Itu sekadar kita punya usaha untuk menyelaraskan penguatkuasaan, bukan kita yang menguatkuasa,” tegasnya.

Beliau menasihatkan G25 supaya merujuk kepadanya dahulu jika ada perkara hendak dibangkitkan bagi mengelak timbul perkara lebih buruk dengan persepsi itu. – MalaysiaGazette