Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) diiringi Duta Besar Di Raja Arab Saudi di Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan (tiga kanan) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (lima kiri) beramah mesra bersama mangsa dan waris pada Majlis Jamuan Tengah Hari bersama waris dan mangsa yang terlibat pada kemalangan kren di Makkah di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf memuji kecekapan menteri kerajaan dahulu dalam menangani kes waris mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam kemalangan kren di Mekah pada tahun 2015.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis jamuan tengah hari waris dan mangsa kemalangan kren di Mekah Musim Haji 1436 H di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Menteri pada zaman Barisan Nasional itu ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Mujahid juga menasihatkan waris mangsa terbabit supaya menggunakan sumbangan diterima sebaik mungkin.

Menurut beliau, walaupun mahkamah Mekah memutuskan kejadian itu disebabkan faktor alami, bukan kecuaian manusia dan tidak perlu dibayar pampasan tetapi atas sikap prihatin Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud bersetuju memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa dan ahli keluarganya.

Katanya, daripada sumbangan itu, setiap mangsa yang meninggal dunia diberikan SR1 juta Rial (RM1.08 juta), manakala yang cedera mendapat SR500,000 Rial (RM540,000).

“Dalam majlis hari ini, waris dari tujuh mangsa yang meninggal dunia dan tiga mangsa yang cedera hadir dan diraikan jamuan tengah hari dengan saya, timbalan saya (Fuziah Salleh) dan Duta Besar Diraja Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

“Mereka diraikan sebagai tanda simpati kerajaan Malaysia serta kerajaan Arab Saudi atas kejadian yang menimpa mangsa (yang cedera) dan waris mangsa yang meninggal dunia,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang sama ialah Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Pada September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram, tumbang.

Jelas Mujahid, sumbangan itu telah dimasukkan ke akaun Amanah Raya yang akan menguruskan keperluan ahli keluarga serta mangsa yang cedera.

Katanya, beliau juga dimaklumkan sebelum ini Tabung Haji (TH) telah menziarahi waris dan keluarga mangsa selepas insiden itu berlaku untuk menyampaikan ucapan takziah dan memberi sokongan yang diperlukan.

“TH juga telah melaksanakan Badal Haji untuk mangsa yang meninggal dunia dan saya memuji keprihatinan serta usaha proaktif TH ini.

“Ketika kemalangan itu, TH telah menyumbangkan bantuan kewangan RM20,000 kepada keluarga mangsa sebagai tambahan kepada manfaar RM20,000 bawah perlindungan Takaful, manakala sumbangan RM2,000 seorang diberikan kepada Jemaah haji yang tercedera.

“Saya melahirkan rasa simpati atas tragedi yang menimpa Jemaah haji dari pelbagai negara, khususnya kepada Jemaah haji dari Malaysia dan saya ucapkan penghargaan dari kerajaan Malaysia atas sikap prihatin Raja Arab Saudi dalam menangani peristiwa itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette