Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat sebenarnya sudah tidak yakin kepada sistem perundangan di Malaysia ketika ini apabila pemegang kuasa yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan undang-undang menodai undang-undang di bawah kawalan mereka tanpa sembunyi lagi.

Sebagai contoh, tindakan Peguam Negara menggugurkan kes-kes pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti menggugurkan kes Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo dan menggugurkan pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Seremban Jaya iaitu P. Gunasekaran dalam kes berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Peguam Negara juga bertindak campur tangan dalam inkues kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim sehinggakan pihak mahkamah memutuskan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah menghina mahkamah.

Sehingga kini, kes Adib masih tergantung tiada kesudahan.

Manakala dalam kes kapal Equanimity, Peguam Negara melantik peguam luar atas ketidakupayaannya mengendalikan kes tersebut dengan bayaran upah guaman sebanyak RM2 juta yang ditanggung oleh kerajaan.

Kes video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana walaupun video-video tersebut tulen, selain pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz bahawa dia adalah pelakunya dengan alasan pengecaman wajah tidak dapat dipastikan.

Tambah Ismail, selain Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dilihat mengamalkan Rule of the Jungle kerana tiada tindakan dikenakan ke atas kesalahan pilihan raya melibatkan PH di bawah akta kesalahan pilihan raya walaupun berpuluh-puluh laporan kesalahan pilihan raya dilakukan.

Manakala, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula didakwa melakukan pendakwaan berpilih.

Mereka yang masih di dalam UMNO mendapat notis untuk penyitaan harta namun yang telah ‘melompat keluar’ dari UMNO walaupun pada mulanya terdapat dalam senarai, telah digugurkan olehnya.

Audio rakaman kononnya suara Datuk Seri Najib Razak dengan pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin luar negara didedahkan dalam sidang media terbuka walaupun kes sedang berjalan.

Terbaru, tangkapan ADUN Dengkil yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral iaitu berjudi dan positif dadah.

Tetapi, katanya, rakyat tidak yakin ADUN itu akan dihadapkan ke mahkamah.

Mungkin Peguam Negara akan umum bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa ADUN tersebut kerana ‘laporan polis tidak jelas dan terlalu kabur’, sindirnya. – MalaysiaGazette