KUALA LUMPUR – Jika kumpulan Al Maunah merupakan militan, G25 pula disifatkan jauh lebih berbahaya oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu berkata, ini kerana kumpulan bekas penjawat awam kanan itu memberi ancaman kepada akidah umat Islam kerana pemikiran mereka tidak berpandukan syariat Islam.

Abdul Hadi kesal dengan pihak berkuasa kerana membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam.

Beliau berkata, perbincangan mengenai agama Islam tidak boleh dibiarkan kepada kumpulan itu yang disifatkannya sebagai “makhluk perosak”.

“Walaupun dikatakan berpelajaran, tetapi akalnya kecil daripada ijazahnya,” katanya sambil menambah G25 tidak sepatutnya berlagak dan berasa serba tahu dalam urusan agama.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga mempertikai pihak media yang dilihat memberi perhatian kepada laporan G25 dengan mengatakan mereka juga akan memikul dosa dan kesalahan yang sama seperti kumpulan itu.

Pada Sabtu lalu, G25 mengkritik undang-undang murtad dengan berkata, keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.

Dalam laporan bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata, undang-undang negeri yang menghukum kesalahan murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, adalah tidak konsisten dengan perlembagaan persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Abdul Hadi kesal dengan pihak berkuasa kerana membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam.

    Tak usah la lagi nak layan sangat kumpulan orang2 PENCEN ni, tiada siapa lagi yang nak dengar suara orang2 PENCEN ni, dah tak laku! Dah expired!

    Berbeza dengan mufti2, suara mereka sentiasa menjadi pedoman kehidupan orang2 Islam, mereka punyai tempat dalam hiraki tertinggi dalam setiap negeri.

    Disarankan mufti ini pergi dakwah ajak golongan2 PENCEN ni untuk hadir majlis2 ilmu disurau2 atau masjid.

Comments are closed.