KIMANIS – Hasil kaji selidik yang dijalankan Ilham Centre didakwa dilakukan dengan niat politik dan bukan atas kejujuran sebagai seorang penganalisa politik yang profesional.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, lazimnya mana-mana kaji selidik sebegitu lebih cenderung memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Nasional (Warisan).

“Ini propaganda dia, masa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tg Piai, ada pihak IDE (Institut Darul Ehsan) keluarkan analisa mereka kononnya PH akan menang di Tg Piai.

“Tapi Tg Piai kita menang dengan majoriti yang begitu besar sekali, lebih 15,000 majoriti undi.

“Jadi kita tak pakai survey-survey ini sebab ia dibuat dengan niat politik, nawaitu politik, bukan atas kejujuran sebagai penganalisa yang tulen,” katanya kepada pemberita ketika menyantuni pengundi-pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dindong, di Kg Bambangan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kajian Ilham Centre yang meramalkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang menang selesa dalam PRK Parlimen Kimanis sekaligus meranapkan kubu kuat BN.

Hasil kajian itu mendapati Karim selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai 57 peratus kelebihan berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut Ketua Penyelidiknya, Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.

Dalam pada itu, Najib juga mengingatkan jentera dan penyokong BN agar terus bekerja sampai ke saat akhir bagi memastikan pengundi-pengundi Kimanis berpihak kepada BN, esok.

“Kita akan terus menggerakkan jentera kita sepenuhnya, kita tak boleh memikirkan bahawa kerja sudah selesai

“Sampai setiap bakal penyokong kita keluar mengundi, kita mesti teruskan kerja kita,” katanya. – MalaysiaGazette