Lim Guan Eng

BUTTERWORTH – Kerajaan bersedia mengkaji dan pertimbangkan pemberian RM30 menerusi program e-Tunai Rakyat secara kemasukan ke dalam akaun kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak mempunyai telefon pintar, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita boleh kaji pada masa akan datang berhubung perkara itu. Biar kita jalankan dahulu program ini (e-Tunai Rakyat) dan lihat perkembangannya. Kalau ada banyak rungutan tentang perkara ini (permintaan memasukkan RM30 ke dalam akaun), kita akan pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 1.7 juta permohonan bagi menuntut wang percuma RM30 menerusi e-Tunai Rakyat telah diterima sejak dilancarkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1.32 juta permohonan telah diluluskan membabitkan hampir RM40 juta, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pasar raya besar Tesco Bagan Ajam bersempena pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat, di sini hari ini.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta dilancarkan pada Selasa lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut wang percuma RM30 menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Lim berkata, e-Tunai Rakyat merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan sistem pembayaran digital sebagai satu langkah penting ke arah masyarakat tanpa tunai.

“Sistem pembayaran tanpa tunai adalah lebih baik, efisien agar dapat memastikan semua dapat dibuat secara sahih, teratur tanpa unsur penyalahgunaan dan rasuah,” katanya. – Bernama

3 Komen

  1. orang bijak internit boleh lah gandakan lagi pendapatan. bagi yang bodoh internet apa yang mereka dapat. masuk boost masuk tngo masuk apa pun semuanya dalam proses tak pernah lulusnya.

Comments are closed.