Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar bercakap kepada media pada lawatan ke tapak rintis sistem ‘Advanced Moving Bed Bio-Reactor’ di Loji Rawatan Kumbahan, Pantai Tengah, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pemberian surat tunjuk sebab kepada Zuraida Kamaruddin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada kena mengena dengan keadaan dalaman parti itu yang didakwa semakin meruncing.

“PKR tidak ada masalah, PKR masih kuat lagi,” kata Dr Xavier Jayakumar.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, Zuraida perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dan kemudian parti akan memutuskan sebarang tindakan kemudian.

Zuraida telah diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk yang diserahkan kepada Naib Presiden PKR kelmarin atas dakwaan salah laku disiplin, dipercayai berhubung ucapannya di sebuah hotel pada akhir tahun lalu.

Setiausaha Agung PKR yang memaklumkan perkara berkata, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Rayuan sudah menerima 4 kes aduan pada tahun ini dan satu daripadanya yang dilaporkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kasim dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) adalah berkaitan Zuraida. – MalaysiaGazette