Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengedarkan buah limau pada Program Edaran Limau di Pasar Pagi Pandan Jaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Disiplin PKR perlu bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak selain tidak menyebelahi sesiapa termasuklah pemimpin parti itu untuk membuat keputusan melibatkan Zuraida Kamaruddin.

Sehubungan itu Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa tersebut untuk membuat keputusan tindakan lanjut yang akan dikenakan kepada Zuraida.

Wan Azizah bagaimanapun tidak menjawab soalan wartawan tentang punca Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh jawatankuasa itu pada dua hari yang lalu.

“Itu kita kena bagi jawatankuasa disiplin meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya. Saya serahkan kepada jawatankuasa disiplin sebab mereka perlu bebas.

“Lebih baik serahkan kepada mereka untuk siasat dan ambil tindakan, nanti saya dikatakan sebagai berat sebelah atau sebagainya,” katanya sewaktu ditemui di Pasar Pagi Taman Muda, Ampang selepas Program Edaran Limau sempena Tahun Baru Cina hari ini.

Zuraida  sebelum ini diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam berkata, surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti, sudah dihantar kepada Zuraida pada 17 Januari yang lalu. -MalaysiaGazette