Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap pada Sesi Menteri Bersama SMES di SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Banyak kemudahan pembiayaan disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam negara yang masih belum diguna pakai.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, ramai usahawan yang mengadu sukar untuk berkembang kerana kekurangan modal sedangkan banyak institusi termasuk SME Corp. sendiri menawarkan kemudahan kewangan kepada PKS.

“Kita banyak sebarkan maklumat, SME Corp. sendiri ada program SIP (SME Investment Partner), kita ada Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) yang ada kemudahan dana RM1 bilion untuk ditawarkan kepada usahawan-usahawan yang berkelayakan untuk membangunkan produk patuh syariah.

“Ramai juga wakil-wakil institusi kewangan yang bertemu saya dan bertanya “di manakah usahawan-usahawan anda, kami mahu berikan dana” tetapi mereka ini fokus kepada perusahaan yang dipacu inovasi.

“Mungkin ini kekurangan yang usahawan kita ada kerana kebanyakan PKS di Malaysia lebih memberi fokus kepada sektor perkhidmatan.

“Benar, sektor perkhidmatan adalah pemacu kepada pertumbuhan negara tetapi di satu-satu peringkat saya rasa kita perlu lebih adil dalam mengagihkan kemudahan supaya kita boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar yang mana kita mengguna pakai sepenuhnya bahan-bahan mentah yang dikeluarkan di negara ini untuk dijadikan produk yang telah ditambah nilai sebelum dieksport ke luar negara.

“Inilah hasrat kerajaan kepada usahawan-usahawan iaitu perusahaan yang dipacu oleh inovasi,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri sesi bersama PKS di sini hari ini.

Tambah Mohd. Redzuan, dengan itu Kementerian Pembangunan Usahawan akan menganjurkan satu acara selama dua hari yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem PKS yang terdiri daripada agensi kerajaan, usahawan, institusi-institusi pembiayaan dan para pemegang taruh yang mempunyai program atau produk berkaitan PKS.

Ini bagi membolehkan semua pemegang taruh industri PKS boleh berhubung dan berkomunikasi bagi menambah baik industri tersebut sejajar dengan Dasar Keusahawanan Negara.

Dijangka kira-kira lebih RM1 bilion dana pembiayaan disediakan sepanjang program yang dijadualkan berlangsung pada Mac atau April ini.

Dalam pada itu, kementerian juga menurut Mohd Redzuan sedang membuka permohonan kepada PKS-PKS yang berminat untuk menyertai pameran Kampung Malaysia sempena Sukan Olimpik Tokyo.

Kira-kira 150 produk PKS akan dibawa ke negara matahari terbit itu untuk dipamerkan dan bagi memastikan ramai usahawan dan produk tempatan boleh terlibat dalam pameran berkenaan, kementerian katanya berhasrat untuk mengadakan sistem giliran.

“Setakat ini kami terima 500 permohonan dan akan disenarai pendek kepada 150 produk.

“Bagi memastikan banyak produk boleh dipamerkan, kami fikir sistem giliran adalah lebih baik, jadi ini akan memberi peluang kepada produk-produk lain untuk dipamerkan sepanjang tempoh dua minggu temasya sukan itu berlangsung,” katanya lagi.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 24 Julai 2020 sehingga 9 Ogos 2020.- MalaysiaGazette