Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin menjadi kerajaan sepenggal jika perbalahan antara parti dalam gabungan itu berterusan merupakan peringatan dilakukan tepat pada masanya.

Pengerusi Biro Perundangan Nasional DAP, Ramkarpal Singh berkata, kelangsungan hidup PH perlu menjadi keutamaan dan perikatan parti politik itu mampu mengharungi kemerosotan sokongan dalam gabungan ini.

“Perlu mempunyai iltizam politik untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan dan menangani semua masalah  hubungan kaum yang semakin pudar secara serius,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh tentang kemerosotan sokongan, menurut Ramkarpal, sebagai ketua kerajaan, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab bukan hanya ke atas kekalahan di Kimanis pada hujung minggu lalu.

Malah, tambah beliau, Tun Dr. Mahathir juga perlu  bertanggungjawab terhadap empat kekalahan pilihan raya sebelum itu, khususnya kemerosotan sokongan yang diterima PH sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Tidak dinafikan, pelbagai isu tempatan yang dimanipulasi oleh pembangkang seperti Pas Sementara Sabah (PSS) mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kekalahan parti Warisan namun adalah naif untuk memikirkan bahawa ia merupakan faktor tunggal,” ujarnya.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, kenyataan Dr. Mahathir bahawa beliau bersikap terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja selagi ia bukannya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggambarkan bahawa PH mungkin bekerjasama dengan UMNO dan pihak-pihak yang kalah pada PRU14

Katanya, kenyataan itu jelas tidak memberi inspirasi keyakinan terhadap komitmen PH untuk melaksanakan pembaharuan dengan platformnya diperolehi melalui pencapaian yang mustahil dilakukan pada PRU14 dengan dengan menewaskan Barisan Nasinal selepas 61 tahun ia berkuasa.

Walaupun Ramkarpal bersetuju perbalahan dalam PH perlu dihentikan, isu lain perlu diutarakan dengan segera seperti peralihan kuasa dilakukan secara lancar dari Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menggariskan jangka masa seperti yang dijanjikan pada PRU14.

Katanya, suka atau tidak, isu ini telah mewujudkan tekanan dalam PH dan boleh memusnahkan pakatan itu jika ia tidak ditangani segera.

“Jika kita mula melakukannya sekarang, saya yakin PH tidak akan menjadi kerajaan sepenggal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast