KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (Plus) akan menutup semua operasi lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaan syarikat itu bermula hari ini hingga 3 Februari depan.
Syarikat pengendali lebuh raya itu menerusi kenyataan memaklumkan, penutupan itu bagi mengurangkan kesesakan berikutan pelanggan beratur di lorong tambah nilainya sekaligus melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Bagi memastikan perjalanan lebih selesa, Plus menasihatkan pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan dan paling utama menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal bagi memastikan kad mereka mempunyai baki mencukupi,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Katanya, pada musim perayaan kali ini sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya seliaannya terutama waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari.
“Oleh yang demikian, pergerakan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.
“Apabila kejadian sebegini berlaku, sudah pasti ianya menganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pelanggan lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette