Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan Gerakan pada hari pertama perayaan itu.

Pada masa yang sama, Dr. Mahathir dilaporkan telah menolak jemputan daripada MCA yang turut mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong memberitahu, Dr. Mahathir dijangka tiba di Menara PGRM pada 10.15 pagi, 25 Januari.

Presiden Gerakan, Dominic Lau pula berkata, walaupun parti itu telah berundur daripada Barisan Nasional (BN), tetapi ia masih meneruskan tradisi untuk menjemput Perdana Menteri dan ketua-ketua komponen BN untuk menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina.

Sinchew Daily melaporkan, Setiausaha Sulit Dr. Mahathir telah membalas surat jemputan daripada Gerakan untuk mengesahkan kehadiran.

Apabila dihubungi, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri memberitahu bahawa Dr. Mahathir besar kemungkinan menghadiri sambutan yang diadakan Gerakan.

Selain itu, Dr. Mahathir juga akan menghadiri sambutan yang dianjurkan secara bersama oleh persatuan-persatuan Cina Klang dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada hari kedua Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette