Hasrat YaPEIM membantu meringankan beban B40 telah disalahtafsirkan pihak tertentu berhubung inisiatif Inspirasiku.

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menolak dakwaan pihak tertentu kononnya inisiatif Dana Inspirasiku Malaysia (Inspirasiku) sebagai alat atau saluran untuk proses Islamisasi kepada pemohon dan penerima.

Dalam kenyataan kepada media, Bahagian Komunikasi Korporat YaPEIM menegaskan, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan tidak termasuk dalam senarai semak permohonan.

Menurutnya, tuduhan liar itu seharusnya dibawakan bersama bukti yang jelas, bukan membuat dakwaan terbuka yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, YaPEIM tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang dengan sengaja menyalahtafsir hasrat murni organisasi itu melaksanakan Dana Inspirasiku.

Jelas kenyataan itu lagi, inisiatif Inspirasiku yang diperkenalkan pada 2019 bertujuan untuk memberi manfaat kepada pelajar dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari keluarga B40.

“Dana ini untuk meringankan bebanan keluarga dalam menangani kebajikan dan pendidikan anak-anak khusus untuk memulakan sesi persekolahan dan persediaan kemasukan ke IPT.

“Dana Inspirasiku ini mendapat sambutan luar jangkaan masyarakat berdasarkan permohonan diterima dari pelbagai latar belakang agama dan bangsa.

“YaPEIM kini masih dalam proses mengumpul semua borang memandangkan tarikh tutup permohonan pada 31 Januari ini,” katanya.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat itu lagi, YaPEIM setakat ini belum mengedarkan borang bantuan ke IPT dan akan diedarkan sebelum proses kemasukan semester baru pengajian pada sesi 2020/2021.

Menurut kenyataan itu, terdapat beberapa perkara timbul khususnya berkaitan sumber Dana Inspirasiku.

“YaPEIM ingin menjelaskan sumber adalah dana khusus diperolehi dari sektor korporat, individu serta pihak yang prihatin. Ia sama sekali tidak melibatkan sebarang dana mahupun peruntukan dari Kerajaan.

“Bagaimanapun, penyaluran sumbangan kepada penerima manfaat yang layak tertakluk kepada permohonan yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan serta jumlah dana terkumpul,” katanya.

Sebagai sebuah institusi pembangunan sosio ekonomi ummah, YaPEIM telah berada di persada negara sejak ditubuhkan pada 1976 dan disusun semula tahun 1984.

Yayasan itu berjaya mengendali dan mengagihkan sumbangan Skim Sadaqatul Jariah masyarakat kepada lebih 2.75 juta penerima manfaat menerusi pelbagai aktiviti pembangunan sosio ekonomi dari pelbagai kumpulan sasar di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast