Sepasukan Bomba dan Penyelamat dari balai Kota Tinggi membawa mangsa lemas di Sungai Jalan Wayang, Kampung Tembioh di Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas bot dinaiki mangsa terbalik dipercayai akibat berlanggar dengan sebuah bot lain di Sungai Jalan Wayang, Kampung Tembioh dekat Kota Tinggi petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Zamarul Izwan Zaini dikatakan lemas manakala dua rakannya masing-masing berusia 16 tahun terselamat selepas dipercayai berjaya berpaut pada bot yang terbalik itu.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Azman Jantan, Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.21 petang sebelum menggerakan sembilan anggota ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, Pasukan Tindakan Operasi mendapati benar terdapat seorang mangsa lemas dan dua lelaki terselemat, dipercayai akibat berlaku pelanggaran di antara dua buah bot.

“Mangsa dijumpai oleh orang awam dan pihak bomba membantu untuk membawa mangsa ke tepi sungai menaiki bot untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

Tambahnya, operasi tersebut ditamatkan pada 7.24 malam. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast