Md. Ali Jamil

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan (DUPWP) mengajak umat Islam di negara ini mengadakan solat hajat dan bermunajat agar wabak koronavirus tidak merebak.

DUPWP juga turut menyeru masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bertindak segera menghimpunkan jemaah dengan memohon pertolongan dari Allah di saat genting ini.

Ketuanya, Md. Ali Jamil berkata, hanya Allah sahaja yang mampu mencegah sebarang perkara tidak diingini dari berlaku.

“Difahamkan sehingga hari ini berlaku 80 korban di negara China dengan kes jangkitan koronavirus pula meningkat kepada 2,400.

“Selepas dikesan bulan lalu, beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia turut terkena jangkitan itu.

“Bahkan, telah ada beberapa kes koronavirus direkodkan di Johor Bahru, Sungai Buloh (Selangor) serta di Langkawi yang dibawa oleh pelancong dari China,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Md. Ali meminta kerajaan tidak memandang remeh penularan wabak itu dan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa korovairus di Malaysia masih tidak kritikal adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.

Sedangkan, kata beliau, banyak pemimpin dunia telahpun mengambil langkah agresif dan serius bagi menangani wabak itu.

“Malah, kerajaan sendiri tidak berusaha menyekat kemasukan pelancong China, sedangkan wabak ini berasal dari negara berkenaan.

“Banyak negara telah pun mengambil langkah drastik dengan menghentikan penerbangan ke Wuhan dan daerah sekitar termasuk China, malah, ada negara tidak menerima kemasukan pelancong China dari Wuhan seperti Filipina, Rusia dan Hong Kong.

“Sepatutnya kerajaan bertindak tegas dengan menyekat kemasukan pelancong China untuk sementara waktu ini kerana penyebaran wabak koronavirus amat cepat dan sehingga kini telah ada beberapa orang dijangkiti di negara ini,” katanya.

Beliau bimbang jika kemasukan pelancong China itu tidak disekat, wabak berkenaan akan merebak dengan mudah dalam beberapa hari ini.

“Apakah kerajaan akan bertindak setelah ratusan orang dijangkiti dan merana akibat penyakit ini?,” soal beliau.

Menurut Md. Ali, DUPWP simpati dengan para doktor perubatan yang bertungkus lumus mengawal dan merawat pesakit koronavirus.

Ujar beliau, pastinya risiko yang ditanggung mereka jauh lebih besar dan rumit kerana berhadapan dengan bahaya dan mudarat yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku.

DUPWP mengharapkan pusat perubatan di negara ini dibekalkan dengan peralatan terbaik serta kemudahan yang mencukupi agar pasukan perubatan dapat bekerja dengan sempurna.

“Selain itu, kita ingin mengingatkan masyarakat agar menjauhi aktiviti terbuka dan elakkan berada di tempat awam atau kawasan terbuka seperti pasar raya, kolam renang, padang permainan dan lain-lain.

“Pastikan masyarakat dibekalkan topeng muka secukupnya dan pastikan juga kebersihan diri dan makanan dijaga secukupnya.

“Jika tiada keperluan berada di luar rumah dan di tempat orang ramai serta kawasan terbuka, jauhi kawasan berkenaan kerana mencegah adalah langkah terbaik dari mengubati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast