Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas Majlis Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank : Program Memperkasakan B40 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Meskipun virus terbaharu 2019-nCOV hanya dibuktikan tersebar melalui pemindahan manusia ke manusia sahaja setakat ini namun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengetatkan kawalan di semua pintu masuk negara dan memeriksa item-item tertentu secara rambang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk mengetatkan penguatkuasaan.

“Saya telah mengarahkan agensi di bawah kementerian, MAQIS untuk mengetatkan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara.

“Paling tidak mereka boleh membuat pemeriksaan secara rambang dahulu dan memilih item-item tertentu seperrti daging atau buah-buahan.

“Walaupun tiada fakta yang mengatakan virus ini boleh dipindahkan melalui makanan tetapi apa yang kami lakukan sekarang adalah sebagai satu langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama program pembiayaan mikro di antara Petronas dan Agrobank di sini hari ini.

Malaysia tidak ada mengimport makanan daripada Wuhan, kawasan bermulanya wabak coronavirus tersebut, tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, kementeriannya sedang membuat persiapan untuk mengemukakan bajet sebagai persediaan melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, beliau berharap RMK12 dapat menterjemahkan keseriusan kerajaan terhadap pembangunan industri pertanian terutama yang melibatkan bekalan makanan (food security).

“Saya berharap RMK12 beri fokus kepada bidang pertanian kerana kita lihat semua bercakap mengenai pertanian.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin bercakap mengenainya.

“Saya harap RMK12 menterjemahkan keseriusan mereka dan diharapkan banyak lagi bantuan-bantuan yang boleh dibelanjakan termasuk perbelanjaan pembagunan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette